Tuesday, December 5, 2000

Bahasa Kedayan adalah lebih maju dari Berunai

Aaron Bonafides

Assalamualaikum..

Kali ini saya akan membicarakan mengenai bahasa Kedayan yang lebih Melayu berbanding bahasa Brunei. Mungkin ianya agak mengejutkan tetapi itulah hakikatnya. Maklumat ini saya perolehi daripada tulisan Encik Julaihi Bujang yang membentangkan mengenai hubungan di antara Melayu dan Kedayan di Sarawak di dalam Simposium Melayu dan Melanau ke 2(?) pada tahun 1993.

"......bahasa Kedayan hidup sebagai bahasa pertuturan atau pengucapan sahaja di kalangan etnik Kedayan. Ia dikatakan mirip dengan bahasa Melayu Brunei " (A.B Ahmad,1978). 

Menurut Soepomo (1990), elemen linguistik di antara bahasa Melayu Brunei dan Kedayan hampir sama dengan kognat melebihi 94%, sebaliknya bahasa Melayu Brunei sebagai satu dialek Melayu mempunyai kognat kira-kira 80% dalam hubungan dengan Bahasa Melayu Baku.

Sedangkan menurut saudara Arimi Sidek, kehampiran di antara bahasa Kedayan dengan Bahasa Melayu Baku ialah 84%. Nah..ini menunjukkan yang Bahasa Kedayan itu lebih Melayu berbanding dengan Bahasa Brunei.

Manakala Aadelar(1990) dalam kajiannya mengenai dialek Salako menyatakan bahawa ia berkait rapat dengan 'kendayan'**. Menurut Aadelar, Salako juga berkait rapat dengan bahasa Banjar. Lantaran bahasa Melayu Banjar itu mempunyai kaitan dengan bahasa Melayu Brunei maka diyakinkan bahawa asal-usul etnik Kedayan mungkin terjawab dalam kajian lanjut ke atas elemen dialek-dialek tersebut.    

***Mengenai adakah Kedayan dan Kendayan adalah etnik yang sama, saya tidak bersetuju dengan pendapat tersebut. Ini adalah kerana bagi pihak Indonesia Kendayan digolongkan ke dalam kumpulan etnik Dayak. Elemen Melayu di dalam budaya dan bahasa Dayak Kendayan adalah elemen pinjaman. Dikatakan adat perkahwinan mereka dipengaruhi oleh unsur-unsur animisme iaitu harus meminta izin daripada 'yubata' dan membayar adat pada leluhur serta makhluk ghaib. 

Saya berpendapat demikian adalah kerana walaupun ada unsur-unsur lama(sebelum Islam) di dalam masyarakat Kedayan tetapi tidak ada unsur-unsur pemujaan leluhur dan makhluk ghaib.

Mengenai kemungkinan bangsa Kedayan berasal dari Borneo saya tidak berani mengiyakan pendapat  tersebut. Walaubagaimanapun, mungkin ianya ada kebenarannya. Ini adalah kerana mengikut kepercayaan orang-orang Melanau dan Melayu Sarawak. Ini adalah berdasarkan kisah lagenda masing-masing. 

Sebelum ini saya pernah menulis bahawa penduduk asal Brunei adalah  orang Kedayan berdasarkan buku 'Oya Melanau'. Ianya diceritakan oleh seorang tua Melanau pada tahun 1950. Adapun kisah itu pula yang berkaitan dengan kemunculan Alak Betatar dan Awang Semaun ke Brunei dikatakan berlaku 30 generasi yang lalu. Andaikata satu abad ada 4 generasi maka kisah itu berlaku kira-kira 400 tahun yang lampau. Kalau satu abad pula ada 2 generasi maka kisah itu berlaku kira-kira 800 tahun yang lampau. Namun ianya lebih kepada cerita lisan masyarakat Melanau Oya.
      
Berdasarkan Hikayat Merpati Jepang pula dikatakan bahawa Brunei diasaskan oleh orang Kedayan. Datu Merpati Jepang merupakan ketua masyarakat Melayu Sarawak pertama. Adalah dipercayai beliau hidup sekitar abad ke-15(?). Keturunan beliau inilah yang dianugerahkan oleh Sultan Brunei dengan gelaran Datu Patinggi. '....Diceritakan bahawa pada suatu masa lampau seorang puteri telah terdampar di Miri apabila kapal yang baginda tumpangi telah karam. Puteri itu dijumpai oleh orang Kedayan lalu dipelihara oleh mereka sehingga dewasa. Apabila telah dewasa, orang Kedayan ini telah berpakat untuk mencari jodoh bagi puteri tersebut. Mereka berpakat untuk ke Singapura. Lalu mereka telah membina sebuah kapal yang besar lagi indah dengan segala perhiasan. Lalu dilantik beberapa orang tua Kedayan yang paling pintar lagi bijaksana untuk belayar ke Singapura lalu mencari calon suami untuk puteri tersebut. 

Setelah tiba di Singapura, mereka menghadap Adipati iaitu ketua Singapura. Baginda menpunyai 7 orang putera. Untuk memilih calon yang sesuai, mereka meminta izin untuk membawa setiap putera itu mengelilingi pulau Singapura secara bergilir-gilir.  Setiap pusingan bijak pandai Kedayan ini akan bertanyakan beberapa solan untuk menguji kepintaran putera-putera tersebut. Apabila sampai giliran putera ke tujuh yang juga ternyata tertampan dan terbijak lalu mereka menukar haluan dan terus belayar ke Miri(?). Apabila Adipati mendapat tahu bahawa puteranya telah dilarikan orang baginda amat murka tetapi sudah terlambat. 

Setibanya di Miri(?) baginda dikahwinkan dengan puteri. Pada suatu hari ketika sedang berburu sang putera sampai ke suatu daerah yang subur lalu mencadangkan agar dibuka penempatan di situ. Pada waktu yang sama orang Kedayan sedang sibuk berinai, lalu dinamakan daerah itu Berinai. Putera itu telah dilantik oleh orang Kedayan sebagai raja.

Lama-kelamaan daerah itu dipanggil Brunei." Namun kesahihan cerita ini tidak dapat dipastikan kerana ianya lebih berunsur cerita mitos walaupun Datu Merpati Jepang memang wujud.

Sekian dahulu untuk kali ini. Semoga anda semua berpuas hati dengan tulisan saya ini.

Terima Kasih.

Aaron Bonafides ibni Safar ibni Boben al-Haj ibni
Dohak al-Haj ibni Abdul Ghafur al-Haj.
Miri-Sibuti.

END

No comments:

Post a Comment

Kedayan Online and Suambi Kedayan, A REBORN!

This website is a re-issue of once published materials of Kedayan Online  (of PAADIANInc. ),  Suambi Kedayan (of Persatuan Kedayan Sabah...